Friday, August 18, 2017

HAMKA - Nilai Sebuah Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah s.w.t.:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” 
[Surah Ar-Ra’d, 13: 11].

Dalam dunia ini, dapat diperhatikan, pelbagai ragam perihal manusia dalam mereka meneruskan penghidupan di dunia yang penuh fatamorgana ini.

Terpanggil untuk berkongsi sedikit cebisan ilmu dari tulisan Prof Dr HAMKA (17/2/1908 - 24/7/1981). Penulisannya dalam sebuah buku '1001 Soal-soal Hidup' ini menghimpunkan persoalan2 dalam beberapa perkara seperti perbezaan fahaman lama dengan fahaman baru dalam institusi keluarga (anak dan ayah), kekongkongan muda mudi dalam adat kampung, perihal rumah tangga (terdapat kait rapat dengan adat juga), penghayatan didikan agama dalam kehidupan, nilai persahabatan dan beberapa lagi.

Kerelevanan nasihat2 ini masih lagi rapat dengan situasi kini, adapun sebahagiannya seperti perkara adat dilihat kuat pada zaman HAMKA tersebut di beberapa tempat dan kurang pula dari konteks Malaysia sendiri pada era ini.

Lantaran pembacaan ini, satu yang saya tertarik adalah nilai sebuah persahabatan yang diketengahkan oleh HAMKA pada topik akhir buku tersebut. Teringat oleh saya novel karangan HAMKA juga, 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'. Dalam novel tersebut, dua pengajaran terbesar yang diserlahkan HAMKA ialah nilai makna dan suci sebuah cinta yang sejati, dan nilai persahabatan yang setia dan teguh.

Pengajaran yang kedua itu sangat ditonjolkan oleh watak Muluk bilamana karakter Zainudin jatuh sakit bagai kehilangan akal dek keruntuhan cintanya pada Hayati yang telah bernikah dengan Aziz. Bang Muluk dalam kisah ini, betapa besar peranannya dan sungguh penting sebagainya seorang sahabat demi menjadi pemangkin dan pembangun semangat Zainudin yang telah rundum kejatuhan sehingga terlaksananya menjadi penulis nan tersohor. Demikian nasihat2 dan semangat setiakawannya menjadi penyuluh dan pencerah jalan dan masa depan Zainudin, serta membawanya kembali lurus ke landasan bagai orang berakal yang ketagihkan sukses dalam kehidupan.

Kaitannya dengan nilai persahabatan dalam buku '1001 Soal-Soal Hidup' pada awal bicara tadi, HAMKA telah mengangkat nilai dan harga sebuah persahabatan itu lebih mahal daripada harga sebuah cinta seorang lelaki kepada perempuan.

Bahawasanya sahabat sejati itu, sedari kita gembira, dia pula meraikannya. Tatkala kita jatuh, dia datang sebagai pembangkit. Pabila kita tersulit, dia hadir sebagai penyenang. Di saat kita tercampak dalam kegelapan, dia terbit ibarat mentari yang menghidupkan alam dengan cahayanya. Dan di waktu kita dikhianati, dia muncul laksana orang yang paling dipercayai.

Kekuatan persahabatan itu terletak pada kesukaran bersama yang ditempuhi. Adapun seorang manusia itu punyai kelemahan. Begitu juga dengan sebuah persahabatan, ada juga cacat celanya. Maka tidak dapat tidak sebagai sahabat, jangan lantas melatah dalam kesalahfahaman. Jangan langsung terus diputuskan silaturrahim dan diabaikan sahabat itu lantaran salah faham yang bisa didamaikan.

Kembali kepada kewarasan akal. Selidiki terlebih dahulu. Percayalah, perdamaian dari keributan itu menjurus kepada perikatan sahabat yang lebih kokoh, malah kan lebih memahami antara satu sama lain. Kuncinya? Salinglah bermaaf-maafan atas kesilapan, dan harga-menghargai atas segala pemberian. Saling menghulur di samping menerima. Apa-apa pun, persahabatan yang didasari dengan iman adalah persahabatan yang kekal abadi.

Wallahu'alam. Mohon maaf dan moga beroleh manfaatnya in sha Allah.

P/s: terima kasih peminjam buku '1001 Soal-Soal Hidup', muga beroleh ganjaran buatmu in sha Allah.

Irfan Jaleel
Khamis, 17/8/2017 - 6.30pm


Wednesday, August 9, 2017

Global Leadership Programme @ Oxford & London

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke atas hadrat Allah yang melimpahkan kepada kita segala rezekiNya dari segenap sudut, dan nikmat terbesar yang kita sedang rasai adalah nikmat Iman dan Islam, alhamdulillah.

Berzaman dah tinggalkan dunia blog ni haha. Alhamdulillah berkesempatan untuk hidupkan kembali. Mohon didoakan agar medium ini menjadi antara tempat yang besar dalam penyebaran dakwah in sha Allah. Tak lupa apa2 jua bentuk perkongsian yang bermanfaat ^^.

Straight to the point. Untuk entri kali ini, buat pertama kali tahun 2016 & 2017, ingin saya kongsikan sedikit musafir saya ke bumi yang tak terjangka oleh saya untuk menjejakkan kaki di sana, iaitu United Kingdom. Basically, alhamdulillah syukur tak terhingga, saya terpilih mewakili USIM bersama sahabat2 dari universiti tempatan yang berlainan institusi, seramai 18 orang mahasiswa dan 2 pengiring dari UIA, untuk ke Global Leeadership Programme 2017.

Program ini adalah kesinambungan daripada program Parlimen Mahasiswa yang telah diadakan tahun 2016. Saya tidak berniat untuk menerangkan berkenaan Parlimen Mahasiswa tersebut. Apa2 pun, selamat membaca artikel tentang pengalaman yang sangat2 besar dan bermanfaat buat kami semua ini. Moga bermanfaat!

******************************************************************

Tanggal 8 hingga 16 April 2017 yang lalu, seramai 18 orang mahasiswa yang terdiri daripada wakil pemimpin badan pelajar di universiti masing-masing telah terpilih menyertai Global Leadership Programme for Student Parliament 2017 bertempat di Universiti Oxford, University of East London dan Education Malaysia United Kingdom & Eire (EMUKE), United Kingdom. Program ini merupakan anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Objektif program ini diadakan adalah untuk terus membina kepimpinan dalam kalangan mahasiswa di peringkat antarabangsa, untuk memberi pengalaman kepada mahasiswa menimba ilmu daripada tenaga pengajar mahir yang berbeza budaya, dan untuk memberi peluang kepada mahasiswa kemahiran praktikal untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan negara.
            Pengalaman yang sangat besar ini membuka ruang seluasnya dalam menimba ilmu dan memupuk kepimpinan bertaraf global dalam setiap jiwa muda yang sertai. Perjalanan bermula dari UIAM, bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.15 malam, hari Sabtu, 8 April 2017. Penerbangan mengambil masa selama 13 jam. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London pada hari Ahad, jam 6.00 pagi di sana, kami sekumpulan bersama dua orang pengiring, Puan Zeny Sofina Martias dan Puan Azura Hamzah, yang juga merupakan pegawai khas rektor UIAM, terus berangkat ke Oxford. Setibanya di sana, kami disambut baik oleh Dr. Heirani Moghaddam, Pengarah Oxford Academy for Education & Development (OAED) di Kolej Keble, salah sebuah kolej di sana.
            Sepanjang berada di Universiti Oxford yang juga merupakan universiti tertua dalam dunia berbahasa Inggeris, kami telah menghadiri seminar dan latihan kepimpinan yang disampaikan oleh beberapa tenaga pengajar yang professional dan berlatarbelakangkan kepimpinan yang hebat. Antaranya Dr. Heirani Moghaddam sendiri, yang membicarakan tentang “Peranan Kepimpinan dari Perspektif Global” dan “Membangunkan Kepimpinan Keusahawanan”, sarat dengan isi ciri-ciri pemimpin bertaraf global dan cara untuk mencapainya, minda kepimpinan global; Konsep, ciri-ciri dan prinsip kepimpinan dan pemikiran keusahawanan. Selain itu, Jackie Fitzgerald, seorang pelatih kemahiran kepimpinan, pengurusan dan bisnes professional, telah lama berada dalam dunia korporat dan bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa, bersyarah berkaitan “Cabaran Kepimpinan dalam Persekitaran Global: Bagaimana untuk Mempengaruhi Pihak Berkepentingan dan Memahami Pasukan”, mencakupi ilmu berkaitan cara memenangi masyarakat yang dekat dengan persekitaran kita, menjadi pendengar yang aktif serta mengenal dan memahami cara berpasukan yang terbaik. Dan terakhir, Sarah McCloughry, Pengarah syarikat Anrah Development Ltd, seorang pelatih kepimpinan professional dengan tajuknya “Ciri-ciri Kepimpinan yang Berkesan” dan “Kepentingan Kepimpinan dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)”, membicarakan tentang gaya kepimpinan yang baik dan kepimpinan yang membawa kepada penglibatan sosial dan kemasyarakatan.
            Kami juga sempat mengadakan perjumpaan dan berdiskusi bersama Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Oxford (OUSU), Jack Hampton, dengan perbincangan tentang hal ehwal di Universiti Oxford seperti tanggungjawab dan perkara yang dilaksanakan di universiti, fasiliti yang terdapat di universiti, serta beberapa permasalahan yang berlaku di sana. Jelas daripada diskusi ini menampakkan profesionalisme dalam gerak kerja mereka sepanjang mereka dalam Kesatuan Pelajar ini. Mereka turut mengadakan latihan kemahiran dan kepimpinan kepada pengerusi atau perwakilan badan pelajar yang terdapat di Universiti Oxford. Profesionalisme dan kemahiran insaniah secara umumnya sangat perlu untuk dimiliki oleh setiap pemimpin mahasiswa di institusi pengajian di Malaysia malah seluruh dunia.
Menurut Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, felo pensyarah di Pusat Pengajian Islam Oxford, “Pengasasan Universiti Oxford adalah sebagai sebuah pondok, lebih dari 900 tahun lalu. Tiap-tiap kolej di Oxford itu menghasilkan ulama’, dan tiap-tiap madrasah itu memang mengajar semua subjek,” katanya pada satu majlis Ijtima’ Pondok Malaysia tahun 2014. Katanya lagi, “Kalau kita tengok pada moto Universiti Oxford sendiri, ‘Dominus Illuminatio Mea’, moto itu berasal daripada kitab samawi yang berbunyi dan bermaksud, ‘Wahai Tuhan Kami, Tambahkan Ilmu Kami.’” Sepanjang keberadaan kami di Oxford, melihatkan sistem kehidupan masyarakat sana yang berteraskan dan mendasari ilmu serta nilai Islam itu sendiri, dihiasi pula dengan keramahan mereka, maka tidak hairanlah jika masyarakatnya tergolong sebagai masyarakat ‘Minda Kelas Pertama’ yang turut menjadi agenda pembangunan pemikiran masyarakat Malaysia.
            Selepas tiga hari di Bandar Oxford, kami berpindah ke London dan ditempatkan di Education Malaysia United Kingdom & Eire (EMUKE). Di London, kami berprogram di University of East London (UEL) bersama beberapa pelajar sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) universiti tersebut. Syarah telah disampaikan oleh Prof. Siraj Sait, Pengarah Pusat Undang-Undang Kewangan Islam dan Masyarakat UEL (CIFLAC), berkenaan hak asasi manusia. Hak asasi manusia itu hakikatnya bergantung pada sosioekonomi dan sosiopolitik sesebuah negara. Kami turut didedahkan dengan simulasi parlimen global berkaitan hal-hal hak asasi manusia dan bagaimana ia patut dibentuk dari pelbagai perspektif. Seterusnya, kami juga telah melawat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Dato’ Ahmad Rasidi Hazizi di kota London. Beberapa tempat menarik yang menjadi mercu tanda di kota London juga telah kami kunjungi seperti Menara jam Big Ben, Westminster House of Parliament, London Bridge, Buckingham Palace, dan Tower of London.
            Berada di dua kota yang besar ini memberikan banyak pengalaman yang jarang diperoleh semua orang, sementelahan itu dipadati lagi dengan program kepimpinan yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari negeri sana nan bukan calang-calang. Turut mengikuti sesi seminar kepimpinan sepanjang di Oxford dan London, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Rektor UIAM, merangkap Pengerusi Global Leadership Programme 2017. Beliau berkata, “Profesionalisme dalam kepimpinan merangkumi tiga perkara, iaitu idealisme, intellektualisme, dan aktivisme. Ketiga-tiga tunjang ini sudah cukup besar untuk menyifatkan seorang pemimpin bertaraf global.” Dato’ Sri Dr. Zaleha juga menyatakan bahawa antara fokus program ini adalah untuk menawarkan pelajar menganalisis secara mendalam mengenai trend semasa dalam kepimpinan Barat dan pendedahan kepada sistem parlimen British. Tambahan lagi, program ini melengkapkan pemimpin pelajar untuk merancang secara strategik dan cekap membawa generasi kini ke era baru dengan kerjasama lokal dan global, selain dapat meningkatkan reputasi dan profil universiti tempatan di persada antarabangsa. Memetik kalam teragung Al-Quran dari Surah Yunus, ayat ke-14 yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.” Jelas bahawa corak kepimpinan sesebuah negara sememangnya diwarnai oleh pemimpin zaman tersebut. Pemimpin yang disifatkan sebagai kuat dan amanah dalam kepimpinan seperti yang digariskan dalam Al-Quran amatlah diharapkan dalam mengemudi bahtera negara.
            Majlis penutup Global Leadership Programme for Student Parliament 2017 telah diadakan di EMUKE, bersama wakil pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Hj. Abdul Aziz Abdul Rahman, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Dato’ Paduka Hj Abdul Rahman Ibrahim, Setiausaha Agung MUBARAK, dan Profesor Madya Dr. Zainal Abidin Sanusi, Pengarah EMUKE.

SENARAI NAMA PESERTA KE GLOBAL LEADERSHIP PROGRAMME 2017
NO
NAMA
UNIVERSITI
1.
ZAINAL ASNAWI ASYRAF ZAINAL ABIDIN
UKM
2.
NOOR EMIRA KHAIRANEY MOHD ARSAD
UKM
3.
ARVEND A/L APPLASAMY
UKM
4.
AINUR RABIATUADAWIYAH MD. HASHIM
UIA
5.
MOHD FITRI AZHAR
UIA
6.
NOORAQILAH RUBAAI
UNIKL
7.
SYED ABDULLAH AMIN SYED HUSSAIN FATHI
UNIKL
8.
KHAIRUL HAFEZ YUNUS
USM
9.
SITI SARAH RAHIM
UMT
10.
MOHAMAD FARHAN HAKIM MOHAMAD NAZRI
UMP
11.
MUHAMMAD IRFAN MOHD JALEEL
USIM
12.
MUHAMMAD NURSYAZWAN ZAINUDIN
UNISZA
13.
MUHAMAD AL HAKIM MOHD ZIN
UITM
14.
MUHAMMAD SYAHMI AIMAN SULAIMAN
UPSI
15.
NUR AMIERAH AMANIENA AZMI
SEGI College
16.
CHE MOHAMAD IZZAT CHE MOHD IDRIS
UTEM
17.
MOHD AFI HAZIQ SAPILI
UMS
18.
MUHAMMAD AIMAN MOHD NAHZERI
UUM


Bersama artikel ini disertakan beberapa gambar kenangan kami.

Wajah semangat para peserta bersama Rektor UIAM, Profesor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin (Depan, empat dari kiri) di UIAM sebelum berangkat ke London, United Kingdom.

First day arrived. At Weston Library, Oxford 

Sesi seminar dan latihan kepimpinan global di Kolej St. John yang disampaikan oleh Dr. Heirani Moghaddam. 

Bergambar selfie di Kolej Keble, Oxford.

Delegasi Malaysia bersama tenaga pengajar di Kolej St. John, Universiti Oxford.

At Big Ben and Westminster House of Parliament, London 

 At Buckingham Palace, London.

Bersama Tuan Yang Terutama Dato’ Ahmad Rasidi Hazizi, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Northern Ireland di London. 

Para peserta bersama Prof. Siraj Sait (sepuluh dari kiri) di University of East London. 

Majlis Penutup Global Leadership Programme 2017 di EMUKE bersama wakil pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom dan bersama Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz (duduk, tiga dari kanan).


***************************************************************************

So, alhamdulillah terima kasih sudi membaca. Artikel ni asalnya nak publish kat paper, tapi tak ada rezeki. So kita share sini saja lah. Wallahu'alam. Moga beroleh manfaat dari perkongsian pengalaman ini. Dan moga kita semua dapat jelajah (lagi) ke United Kingdom dan bandar keilmuan sana in sha Allah.

"Bermusafirlah di bumi Allah ini. Terokailah ia. Kerana kamu akan beroleh manfaat sebuah nilai yang tiada di tempat kamu, lagi meluaskan pemandangan dan ilmumu. Tadabbur alam itu suatu yang mesti karena bisa melihat kekuasaan dan kebesaran Allah seluasnya."
~Kalam Sang Musafir Kehidupan~