Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke atas hadrat Allah yang melimpahkan kepada kita segala rezekiNya dari segenap sudut, dan nikmat terbesar yang kita sedang rasai adalah nikmat Iman dan Islam, alhamdulillah.
Berzaman dah tinggalkan dunia blog ni haha. Alhamdulillah berkesempatan untuk hidupkan kembali. Mohon didoakan agar medium ini menjadi antara tempat yang besar dalam penyebaran dakwah in sha Allah. Tak lupa apa2 jua bentuk perkongsian yang bermanfaat ^^.
Straight to the point. Untuk entri kali ini, buat pertama kali tahun 2016 & 2017, ingin saya kongsikan sedikit musafir saya ke bumi yang tak terjangka oleh saya untuk menjejakkan kaki di sana, iaitu United Kingdom. Basically, alhamdulillah syukur tak terhingga, saya terpilih mewakili USIM bersama sahabat2 dari universiti tempatan yang berlainan institusi, seramai 18 orang mahasiswa dan 2 pengiring dari UIA, untuk ke Global Leeadership Programme 2017.
Program ini adalah kesinambungan daripada program Parlimen Mahasiswa yang telah diadakan tahun 2016. Saya tidak berniat untuk menerangkan berkenaan Parlimen Mahasiswa tersebut. Apa2 pun, selamat membaca artikel tentang pengalaman yang sangat2 besar dan bermanfaat buat kami semua ini. Moga bermanfaat!
******************************************************************
Tanggal
8 hingga 16 April 2017 yang lalu, seramai 18 orang mahasiswa yang terdiri daripada
wakil pemimpin badan pelajar di universiti masing-masing telah terpilih menyertai
Global Leadership Programme for Student
Parliament 2017 bertempat di Universiti Oxford, University of East London dan Education
Malaysia United Kingdom & Eire (EMUKE), United Kingdom. Program ini merupakan
anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Kementerian Pendidikan Tinggi,
dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Objektif program ini diadakan
adalah untuk terus membina kepimpinan dalam kalangan mahasiswa di peringkat antarabangsa,
untuk memberi pengalaman kepada mahasiswa menimba ilmu daripada tenaga pengajar
mahir yang berbeza budaya, dan untuk memberi peluang kepada mahasiswa kemahiran
praktikal untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan negara.
Pengalaman yang sangat besar ini membuka
ruang seluasnya dalam menimba ilmu dan memupuk kepimpinan bertaraf global dalam
setiap jiwa muda yang sertai. Perjalanan bermula dari UIAM, bertolak ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.15 malam, hari Sabtu, 8
April 2017. Penerbangan mengambil masa selama 13 jam. Sejurus tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Heathrow, London pada hari Ahad, jam 6.00 pagi di sana, kami
sekumpulan bersama dua orang pengiring, Puan Zeny Sofina Martias dan Puan Azura
Hamzah, yang juga merupakan pegawai khas rektor UIAM, terus berangkat ke Oxford.
Setibanya di sana, kami disambut baik oleh Dr. Heirani Moghaddam, Pengarah
Oxford Academy for Education & Development (OAED) di Kolej Keble, salah sebuah
kolej di sana.
Sepanjang berada di Universiti
Oxford yang juga merupakan universiti tertua dalam dunia berbahasa Inggeris,
kami telah menghadiri seminar dan latihan kepimpinan yang disampaikan oleh beberapa
tenaga pengajar yang professional dan berlatarbelakangkan kepimpinan yang
hebat. Antaranya Dr. Heirani Moghaddam sendiri, yang membicarakan tentang “Peranan
Kepimpinan dari Perspektif Global” dan “Membangunkan Kepimpinan Keusahawanan”,
sarat dengan isi ciri-ciri pemimpin bertaraf global dan cara untuk mencapainya,
minda kepimpinan global; Konsep, ciri-ciri dan prinsip kepimpinan dan pemikiran
keusahawanan. Selain itu, Jackie Fitzgerald, seorang pelatih kemahiran kepimpinan,
pengurusan dan bisnes professional, telah lama berada dalam dunia korporat dan bekerja
di syarikat-syarikat antarabangsa, bersyarah berkaitan “Cabaran Kepimpinan dalam
Persekitaran Global: Bagaimana untuk Mempengaruhi Pihak Berkepentingan dan Memahami
Pasukan”, mencakupi ilmu berkaitan cara memenangi masyarakat yang dekat dengan persekitaran
kita, menjadi pendengar yang aktif serta mengenal dan memahami cara berpasukan yang
terbaik. Dan terakhir, Sarah McCloughry, Pengarah syarikat Anrah Development Ltd, seorang pelatih kepimpinan professional
dengan tajuknya “Ciri-ciri Kepimpinan yang Berkesan” dan “Kepentingan
Kepimpinan dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)”, membicarakan tentang
gaya kepimpinan yang baik dan kepimpinan yang membawa kepada penglibatan sosial
dan kemasyarakatan.
Kami juga sempat mengadakan
perjumpaan dan berdiskusi bersama Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Oxford
(OUSU), Jack Hampton, dengan perbincangan tentang hal ehwal di Universiti Oxford
seperti tanggungjawab dan perkara yang dilaksanakan di universiti, fasiliti
yang terdapat di universiti, serta beberapa permasalahan yang berlaku di sana.
Jelas daripada diskusi ini menampakkan profesionalisme dalam gerak kerja mereka
sepanjang mereka dalam Kesatuan Pelajar ini. Mereka turut mengadakan latihan
kemahiran dan kepimpinan kepada pengerusi atau perwakilan badan pelajar yang
terdapat di Universiti Oxford. Profesionalisme dan kemahiran insaniah secara
umumnya sangat perlu untuk dimiliki oleh setiap pemimpin mahasiswa di institusi
pengajian di Malaysia malah seluruh dunia.
Menurut Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, felo pensyarah di
Pusat Pengajian Islam Oxford, “Pengasasan Universiti Oxford adalah sebagai
sebuah pondok, lebih dari 900 tahun lalu. Tiap-tiap kolej di Oxford itu
menghasilkan ulama’, dan tiap-tiap madrasah itu memang mengajar semua subjek,”
katanya pada satu majlis Ijtima’ Pondok Malaysia tahun 2014. Katanya lagi,
“Kalau kita tengok pada moto Universiti Oxford sendiri, ‘Dominus Illuminatio Mea’, moto itu berasal daripada kitab samawi
yang berbunyi dan bermaksud, ‘Wahai Tuhan Kami, Tambahkan Ilmu Kami.’”
Sepanjang keberadaan kami di Oxford, melihatkan sistem kehidupan masyarakat
sana yang berteraskan dan mendasari ilmu serta nilai Islam itu sendiri, dihiasi
pula dengan keramahan mereka, maka tidak hairanlah jika masyarakatnya tergolong
sebagai masyarakat ‘Minda Kelas Pertama’ yang turut menjadi agenda pembangunan
pemikiran masyarakat Malaysia.
Selepas tiga hari di Bandar Oxford,
kami berpindah ke London dan ditempatkan di Education
Malaysia United Kingdom & Eire (EMUKE). Di London, kami berprogram di University of East London (UEL) bersama
beberapa pelajar sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) universiti tersebut. Syarah
telah disampaikan oleh Prof. Siraj Sait, Pengarah Pusat Undang-Undang Kewangan
Islam dan Masyarakat UEL (CIFLAC), berkenaan hak asasi manusia. Hak asasi
manusia itu hakikatnya bergantung pada sosioekonomi dan sosiopolitik sesebuah
negara. Kami turut didedahkan dengan simulasi parlimen global berkaitan hal-hal
hak asasi manusia dan bagaimana ia patut dibentuk dari pelbagai perspektif. Seterusnya,
kami juga telah melawat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan
Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Dato’ Ahmad Rasidi Hazizi di kota London.
Beberapa tempat menarik yang menjadi mercu tanda di kota London juga telah kami
kunjungi seperti Menara jam Big Ben, Westminster House of Parliament, London Bridge, Buckingham Palace, dan Tower
of London.
Berada di dua kota yang besar ini
memberikan banyak pengalaman yang jarang diperoleh semua orang, sementelahan
itu dipadati lagi dengan program kepimpinan yang dikendalikan oleh pakar-pakar
dari negeri sana nan bukan calang-calang. Turut mengikuti sesi seminar
kepimpinan sepanjang di Oxford dan London, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Sri
Dr. Zaleha Kamaruddin, Rektor UIAM, merangkap Pengerusi Global Leadership Programme 2017. Beliau berkata, “Profesionalisme dalam kepimpinan
merangkumi tiga perkara, iaitu idealisme, intellektualisme, dan aktivisme. Ketiga-tiga
tunjang ini sudah cukup besar untuk menyifatkan seorang pemimpin bertaraf
global.” Dato’ Sri Dr. Zaleha juga menyatakan bahawa antara fokus program ini
adalah untuk menawarkan pelajar menganalisis secara mendalam mengenai trend
semasa dalam kepimpinan Barat dan pendedahan kepada sistem parlimen British.
Tambahan lagi, program ini melengkapkan pemimpin pelajar untuk merancang secara
strategik dan cekap membawa generasi kini ke era baru dengan kerjasama lokal
dan global, selain dapat meningkatkan reputasi dan profil universiti tempatan
di persada antarabangsa. Memetik kalam teragung Al-Quran dari Surah Yunus, ayat
ke-14 yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)
khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu,
supaya kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.”
Jelas bahawa corak kepimpinan sesebuah negara sememangnya diwarnai oleh
pemimpin zaman tersebut. Pemimpin yang disifatkan sebagai kuat dan amanah dalam
kepimpinan seperti yang digariskan dalam Al-Quran amatlah diharapkan dalam mengemudi
bahtera negara.
Majlis penutup Global Leadership Programme for Student Parliament 2017 telah
diadakan di EMUKE, bersama wakil pelajar Malaysia yang belajar di United
Kingdom. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tan
Sri Hj. Abdul Aziz Abdul Rahman, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia
(MUBARAK), Dato’ Paduka Hj Abdul Rahman Ibrahim, Setiausaha Agung MUBARAK, dan
Profesor Madya Dr. Zainal Abidin Sanusi, Pengarah EMUKE.
SENARAI NAMA PESERTA KE
GLOBAL LEADERSHIP PROGRAMME 2017
NO
|
NAMA
|
UNIVERSITI
|
1.
|
ZAINAL
ASNAWI ASYRAF ZAINAL ABIDIN
|
UKM
|
2.
|
NOOR
EMIRA KHAIRANEY MOHD ARSAD
|
UKM
|
3.
|
ARVEND
A/L APPLASAMY
|
UKM
|
4.
|
AINUR
RABIATUADAWIYAH MD. HASHIM
|
UIA
|
5.
|
MOHD
FITRI AZHAR
|
UIA
|
6.
|
NOORAQILAH
RUBAAI
|
UNIKL
|
7.
|
SYED
ABDULLAH AMIN SYED HUSSAIN FATHI
|
UNIKL
|
8.
|
KHAIRUL
HAFEZ YUNUS
|
USM
|
9.
|
SITI
SARAH RAHIM
|
UMT
|
10.
|
MOHAMAD
FARHAN HAKIM MOHAMAD NAZRI
|
UMP
|
11.
|
MUHAMMAD
IRFAN MOHD JALEEL
|
USIM
|
12.
|
MUHAMMAD
NURSYAZWAN ZAINUDIN
|
UNISZA
|
13.
|
MUHAMAD
AL HAKIM MOHD ZIN
|
UITM
|
14.
|
MUHAMMAD
SYAHMI AIMAN SULAIMAN
|
UPSI
|
15.
|
NUR
AMIERAH AMANIENA AZMI
|
SEGI College
|
16.
|
CHE
MOHAMAD IZZAT CHE MOHD IDRIS
|
UTEM
|
17.
|
MOHD
AFI HAZIQ SAPILI
|
UMS
|
18.
|
MUHAMMAD
AIMAN MOHD NAHZERI
|
UUM
|
Bersama artikel ini disertakan beberapa gambar kenangan kami.
Wajah semangat para peserta bersama Rektor UIAM,
Profesor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin (Depan, empat dari kiri) di UIAM
sebelum berangkat ke London, United Kingdom.
First day arrived. At Weston Library, Oxford
Sesi seminar dan
latihan kepimpinan global di Kolej St. John yang disampaikan oleh Dr. Heirani
Moghaddam.
Bergambar selfie di Kolej Keble, Oxford.
Delegasi Malaysia
bersama tenaga pengajar di Kolej St. John, Universiti Oxford.
At Big Ben and Westminster House of Parliament, London
At Buckingham Palace, London.
Bersama Tuan Yang
Terutama Dato’ Ahmad Rasidi Hazizi, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom
dan Northern Ireland di London.
Para peserta bersama Prof. Siraj Sait (sepuluh
dari kiri) di University of East London.
Majlis Penutup Global Leadership Programme 2017 di
EMUKE bersama wakil pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom dan bersama
Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz (duduk, tiga dari kanan).
***************************************************************************
So, alhamdulillah terima kasih sudi membaca. Artikel ni asalnya nak publish kat paper, tapi tak ada rezeki. So kita share sini saja lah. Wallahu'alam. Moga beroleh manfaat dari perkongsian pengalaman ini. Dan moga kita semua dapat jelajah (lagi) ke United Kingdom dan bandar keilmuan sana in sha Allah.
"Bermusafirlah di bumi Allah ini. Terokailah ia. Kerana kamu akan beroleh manfaat sebuah nilai yang tiada di tempat kamu, lagi meluaskan pemandangan dan ilmumu. Tadabbur alam itu suatu yang mesti karena bisa melihat kekuasaan dan kebesaran Allah seluasnya."
~Kalam Sang Musafir Kehidupan~